Husni kini CEO Malaysia Venture Capital

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Malaysia Venture Capital Management Bhd. (MAVCAP) mengumumkan bahawa Naib Presiden Kanan syarikat itu, Husni Salleh telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru berkuat kuasa 1 September lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Samad Alias berkata, Husni mengambil alih jawatan tersebut daripada Norazharuddin Abu Talib yang melepaskan jawatan itu untuk menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang yang sama.

Norazharuddin telah berkhidmat dengan MAVCAP lebih enam tahun.

Dr. Abdul Samad berkata, Husni yang mula berkhidmat di syarikat itu pada tahun lalu sebagai Naib Presiden Kanan memiliki pengalaman luas dalam bidang pelaburan serta pengurusan teroka modal.

‘‘Saya yakin dengan kebolehan dan pengalaman Husni untuk menerajui MAVCAP dan juga industri teroka modal di negara ini.

‘‘Husni perlu mengetuai seluruh pengurusan MAVCAP untuk memenuhi mandat kerajaan bagi membawa kejayaan dalam bidang pelaburan serta membina syarikat-syarikat teknologi tinggi dan syarikat teroka modal yang baru di negara ini,’’ katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum berkhidmat di MAVCAP, Husni memulakan kariernya sebagai Penganalisis Pelaburan di sebuah syarikat broker saham dan penasihat pelaburan di BBMB Securities, Nomura dan Natwest Market.

Selepas krisis kewangan Asia pada 1997/98, beliau telah menyertai BI Walden Management sebagai Penolong Pengurus Pelaburan.

MAVCAP ditubuhkan pada tahun 2001 sebagai syarikat milik kerajaan yang menguruskan dana bernilai RM1 bilion untuk pelaburan di syarikat-syarikat berteknologi tinggi berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.

Utusan Malaysia - Ekonomi

22-Sept-2007